Dikisahkan bahawa Kiyai Agung Muhammad bin ‘Abdullah as-Suhaimi
BaSyaiban memang selalu mengamalkan bacaan mawlid Junjungan Nabi s.a.w.,
tetapi kadangkala beliau meninggalkannya. Pada satu malam, beliau
bermimpi dan dalam mimpi tersebut beliau bertemu dengan Junjungan Nabi
s.a.w. dan Habib Nuh yang ketika itu sudah pun berpulang ke rahmatUllah.
Dalam mimpi tersebut, Habib Nuh sedang mengiringi Baginda Nabi s.a.w.
yang sedang berjalan di hadapan rumah Kiyai Agung, lalu Habib Nuh pun
berkata kepada Baginda Nabi s.a.w.: “Ya RasulAllah, marilah kita ziarah
rumah kawan saya Muhammad Suhaimi.” Tetapi Junjungan Nabi s.a.w. enggan
berbuat demikian sambil bersabda: “Saya tak hendak menziarahinya kerana
Muhammad Suhaimi ini selalu lupakan saya, kerana dia selalu meninggalkan
bacaan maulid saya.” Habib Nuh merayu kepada Baginda Nabi s.a.w.: “Saya
bermohonlah kepada tuan supaya dia diampuni.” Setelah itu baharulah
Junjungan Nabi s.a.w. mahu masuk dan duduk di dalam rumah Kiyai Agung.
Inilah kisah mimpi Kiyai Agung, selepas isyarat mimpi itu, maka Kiyai
Agung tidak lagi meninggalkan bacaan mawlid, hatta dalam pelayaran
sekalipun dan walaupun hanya 2 atau 3 orang sahaja dalam majlis
pembacaan tersebut.
Ini cerita mimpi, percaya atau tidak terpulanglah, kuceritakan kisah
ini sebagai pengenalan kepada ketinggian maqam seorang waliyUllah yang
bermakam di Singapura. Beliau yang kumaksudkan dan kuharapkan
keberkatannya bagi diriku dan ahli keluargaku serta sekalian muslimin
adalah Habib Nuh bin Muhammad al-Habsyi yang hidup sekitar tahun 1788M –
1866M. Makam beliau terletak di Palmer Road, Tanjong Pagar, Singapura.
Keistimewaan Habib Nuh al-Habsyi makin tersohor apabila kerajaan
Singapura sewaktu pembinaan lebuh raya cuba untuk memindahkan makam
beliau tetapi gagal. Akhirnya, makam beliau dibiarkan dan sehingga kini
terus di bawah penjagaan Majlis Ugama Islam Singapura.
Habib Nuh al-Habsyi meninggalkan dunia yang fana ini pada hari
Jumaat, 14 Rabi`ul Awwal 1283H. Sebelum meninggal, beliau telah
mewasiatkan agar dikebumikan di atas sebuah bukit kecil di Jalan Palmer
tersebut. Wasiat ini dipandang ganjil kerana tempat yang ditunjukkannya
itu adalah terpencil daripada perkuburan orang Islam dan berada di tepi
laut yang terdedah kepada pukulan ombak dan hakisan laut. Maka ahli
keluarga beliau memutuskan agar jenazahnya dimakamkan sahaja di tanah
perkuburan biasa. Setelah selesai urusan jenazah dan ketika hendak
dibawa ke tanah perkuburan biasa, jenazah beliau tidak dapat diangkat
oleh orang yang hendak membawanya. Diceritakan puluhan orang cuba untuk
mengangkat jenazah tersebut, semuanya gagal. Akhirnya mereka
diperingatkan agar mematuhi sahaja wasiat Habib Nuh berhubung tempat
pengkebumiannya. Maka apabila jenazahnya hendak dibawa ke tempat menurut
wasiatnya tersebut, maka orang-orang yang membawanya merasa jenazahnya
amat ringan dan mudahlah mereka mengusungnya. Tahun 1962, kerajaan
Singapura telah menambak dan menebus guna laut sekitar makam Habib Nuh,
dan sekarang makam tersebut berada di tengah daratan dan bukan lagi tepi
laut. Makam beliau tetap terpelihara sehingga sekarang dan menjadi
tempat ziarah bagi mereka-mereka yang mencari keberkahan seorang sholih
lagi wali.
Karamah Habib Nuh al-Habsyi zahir sewaktu hayatnya lagi. Diceritakan
bahawa pernah beliau dipenjarakan oleh penjajah orang putih. Anehnya,
Habib Nuh boleh berada di luar penjara pada bila-bila masa sahaja yang
dia kehendaki, walaupun dalam penjara kaki dan tangannya dirantai.
Walaupun ditangkap semula, beliau tetap dapat keluar dari penjara,
sehingga penjajah tidak betah lagi untuk memenjarakan beliau kerana
penjara tidak lagi mempunyai apa-apa arti buat beliau.
Diceritakan lagi bahawa pada satu ketika ada seorang saudagar yang
sedang dalam pelayaran ke Singapura. Dalam pelayaran, kapalnya telah
dipukul ribut kencang. Dalam suasana cemas tersebut, saudagar itu berdoa
kepada Allah agar diselamatkan kapalnya dari ribut tersebut dan dia
bernazar jika sekiranya dia selamat sampai ke Singapura dia akan
menghadiahkan kain kepada Habib Nuh. Alhamdulillah, dia dan dagangannya
diselamatkan Allah dari keganasan ribut tersebut. Setibanya di
Singapura, dia hairan kerana Habib Nuh telah sedia menunggu
kedatangannya di pelabuhan dan memintanya melaksanakan nazar yang telah
dibuatnya di tengah laut itu.
Diceritakan lagi bahawa seorang yang hendak belayar membawa dagangan
yang mahal mengikut sebuah kapal telah menghadap Habib Nuh memohon doa
agar pelayarannya selamat. Habib Nuh dengan keras melarang dia membawa
dagangannya tersebut. Memandangkan ketegasan Habib Nuh tersebut, maka
saudagar tersebut tidaklah jadi membawa dagangannya dengan kapal
tersebut. Tidak berapa lama selepas kapal tersebut berlepas, penduduk
Singapura dimaklumkan bahawa kapal tersebut telah terbakar dan
tenggelam.
Banyak lagi kejadian aneh yang dihubungkan kepada karamah Habib Nuh
ini. Walau apa pun khawariqul adah yang berlaku pada dirinya, maka itu
bukanlah tuntutan kita. Yang pasti, sejarah telah menyaksikan bahawa
Habib Nuh al-Habsyi adalah seorang sholeh yang taat kepada ajaran Islam.
Apa yang kita citakan ialah agar dapat mencontohi jejak langkah beliau
dalam menuruti perjalanan para leluhurnya sambung-menyambung sehingga ke
hadhrat Junjungan Nabi s.a.w. Mahabbah kepada para sholihin adalah
dituntut dan ingat seseorang itu nanti akan berada bersama orang yang
dikasihinya. Sesungguhnya istiqamah atas agama itu lebih baik daripada
1000 kekeramatan mencarik adat. Karamah maknawi itu lebih bermakna dari
karamah hissi. Mudah-mudahan keberkatan Habib Nuh al-Habsyi mengalir
terus kepada kita dan anak keturunan kita, keberkatan yang dengan
sebabnya diharap Allah memandang kita dengan pandangan rahmat dan kasih
sayangNya. Mari kita hadiahkan al-Fatihah kepada wali Allah Kota Singa
ini…..al-Fatihah.
Jumat, 20 Mei 2016
KISAH AULIYA SYEKH MUHAMMAD BIN 'ABDULLAH AS-SUHAIMI BASYAIBAN
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Labels
- BAKSOS SMP (3)
- KEGIATAN lKSA (1)
- KYAI NYENTRIK (1)
- LKSA (1)
- LSA (2)
- MAJELIS MAULID (1)
- PONPES AL-HILAL (1)
- PROFIL YAYASAN (2)
- SMP PLUS (2)
- cerita guyon (1)
- foto kegiatan (1)
- teropong (3)

Tidak ada komentar:
Write komentar